AWANG Hashim (dua dari kanan) sedang melihat pelatih melakukan kimpalan di Kolej KEDA, Sik sempena lawatan rasminya ke kolej itu di Sik. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
AWANG Hashim (dua dari kanan) sedang melihat pelatih melakukan kimpalan di Kolej KEDA, Sik sempena lawatan rasminya ke kolej itu di Sik. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman

Sik: Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi amaran kepada majikan supaya tidak mengemukakan tuntutan palsu bagi Program Subsidi Upah (PSU) yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak April lalu.

Timbalan Menterinya, Awang Hashim berkata, Perkeso berhak untuk memberhentikan dan menggantung bayaran serta menuntut semula bayaran yang diterima.

Katanya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap majikan yang gagal memenuhi syarat yang ditetapkan.

"Ini berikutan Perkeso sudah mengesan terdapat 30 tuntutan palsu dan salah guna dana program berkenaan.

"Perkeso juga menerima 281 kes aduan pekerja terhadap majikan yang gagal membayar gaji walaupun sudah menerima bantuan PSU dan tuntutan palsu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasmi ke Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Awang berkata, Perkeso sudah bekerjasama dengan bahagian Perundangan KSM bagi mengenal pasti tindakan undang-undang yang boleh diambil ke atas majikan yang tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.

Selain itu katanya, Perkeso juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa kes masih dalam tindakan siasatan.

"Perkeso akan meneruskan lagi perkongsian maklumat lengkap agar siasatan dapat dimulakan ke atas majikan yang gagal untuk mematuhi bayaran di bawah PSU.

"Siasatan lanjut dan tindakan tegas akan diambil terhadap majikan terbabit, saya kalau boleh tak mahu sebut mengenai tindakan undang dan mahu elak tindakan undang-undang diambil sebab perkara ini kita boleh elak.

"Tetapi jika ia berlaku juga kita tidak ada jalan lain, tindakan undang-undang akan diambil sebagai pengajaran kepada mereka yang membuat tuntutan palsu seperti ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 3:38 PM