NG dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas perbicaraan. FOTO Mary Victoria Dass
NG dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas perbicaraan. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Wanita yang juga pengarah syarikat pelancongan didenda sebanyak RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen bertujuan menuntut subsidi kerajaan pada April tahun lalu.

Tertuduh, Ng Lan Fah, 48, dijatuhi hukuman terbabit oleh Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat Orchid Dynasty Travel & Tour Sdn Bhd di Jalan Genuang Kampung, Segamat pada 14 April 2020.

Dia didakwa memberikan dokumen iaitu borang Program Subsidi Upah (PSU) atas nama Syarikat Orchid Dynasty Travel & Tour Sdn Bhd kepada Pegawai Penempatan Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) yang bertugas di Dungun, Terengganu secara dalam talian.

Dia didakwa memberikan dokumen iaitu borang yang mana prinsipalnya mempunyai kepentingan berkaitan dan mengandungi butiran matan yang palsu iaitu lampiran senarai nama pekerja bagi PSU.

Dia didakwa memberikan dokumen yang mana lampiran terbabit terdapat dua nama pekerja yang tidak layak menuntut subsidi PSU berjumlah RM2,400 dan adalah dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Terdahulu, peguam tertuduh, Tan Boon Hong memohon tertuduh diberi hukuman ringan kerana perlu menanggung ibu bapa berusia 70-an, perniagaan tertuduh terjejas akibat Covid-19 dan perlu menanggung gaji pekerja selain mengaku insaf.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suhaila Sapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 12:09 PM