WONG Siow Yen (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Isnin atas pertuduhan membuat tuntutan palsu subsidi Program Subsidi Upah (PSU) tahun lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
WONG Siow Yen (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Isnin atas pertuduhan membuat tuntutan palsu subsidi Program Subsidi Upah (PSU) tahun lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
BERNAMA

Seremban: Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu Program Subsidi Upah (PSU) membabitkan RM6,000 tahun lalu.

Tertuduh Wong Siow Yen, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Pengarah syarikat YTG Logistic and Trading Sdn Bhd itu didakwa memberikan borang PSU kepada Ketua Bahagian Insurans Pekerjaan Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Putrajaya bagi tujuan membuat tuntutan lima pekerjanya, yang sebenarnya tidak layak menuntut subsidi PSU.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di YTG Logistic and Trading Sdn Bhd, Lot 869 Batu 1 3/4, Jalan Tampin, Gemas pada 9 April 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Terdahulu peguam Chuah Shyue Chien memohon mahkamah supaya mengenakan jaminan paling minimum atas alasan anak guamnya mempunyai empat anak berusia 8 bulan hingga 11 tahun selain memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan oleh SPRM.

Mahkamah kemudian membenarkan Wong diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 April ini sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah dipalsukan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Syarina Raizan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 11:58 AM