Aminuddin Harun (tengah) menyerahkan replika cek kepada Mustakim Muhamad (kanan) bagi Insentif Pembangunan Tanah Sawah Padi di Kampung Sungai Buluh Jelebu. FOTO Ihsan Look Siew Fook
Aminuddin Harun (tengah) menyerahkan replika cek kepada Mustakim Muhamad (kanan) bagi Insentif Pembangunan Tanah Sawah Padi di Kampung Sungai Buluh Jelebu. FOTO Ihsan Look Siew Fook
Mohd Amin Jalil


Jelebu: Kampung Sungai Buluh di sini, bakal dibangunkan kerajaan negeri sebagai lokasi pelancongan berasaskan sumber semulajadi dan keunikan tradisi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kampung berkenaan yang mempunyai kawasan sawah padi seluas 187 hektar berpotensi besar untuk dikembangkan bukan sahaja dari aspek pertanian, tetapi juga eko-pelancongan.

"Kampung Sungai Buluh yang mempunyai kawasan sawah padi yang luas dilihat berpotensi untuk dijadikan lokasi agro-pelancongan sama seperti di Sungai Sireh Tanjung Karang dan Sawah Padi Sekinchan Selangor.

"Saya difahamkan bahawa pada tahun 2020, sebanyak 1,470 tan metrik padi dihasilkan daripada kawasan itu membabitkan nilai RM1.7 juta.

"Ini menunjukkan potensi besar sawah padi ini untuk dikembangkan bukan sahaja dari aspek pertanian, malahan juga agro-pelancongan.

"Kita (kerajaan negeri) akan berusaha merealisasikan cadangan pembangunan yang dikemukakan Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu untuk kawasan ini demi kebaikan masyarakat setempat," katanya pada Majlis Lawatan Sehari Ke Jelebu dan Penyampaian Insentif Pembangunan Tanah Sawah Padi berjumlah RM400,000 di Dataran Mengemping Kampung Sungai Buluh Simpang Durian, di sini, tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Loke Siew Fook; Pegawai Daerah Jelebu, Abdul Rahim A Aziz dan Pengerusi Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK), Mustakim Muhamad.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, kawasan perkampungan itu sangat berpotensi untuk dikembangkan lagi fungsinya, selain terdapat beberapa homestay yang diusahakan penduduk.

"Lokasi ini menjadi tapak beberapa aktiviti popular antaranya pesta menuai padi, mengemping, mengoca dan sukan rakyat manakala Empang Sungai Buluh adalah lokasi terakhir bagi program berkayak peringkat antarabangsa.

"Menjadi hasrat kita untuk menambah komponen kemudahan awam dan fasiliti sesuai di tapak ini bagi tarikan pelancong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 4:57 PM