Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim
Baharom Bakar


Marang: Kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan akan menambah keluasan jelapang padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Terengganu Utara (KETARA).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata perancangan yang akan dilakukan adalah meningkatkan keluasan kawasan jelapang padi daripada 5,000 hektar kepada 10,000 hektar.

Katanya, kerajaan negeri bercadang untuk memasukkan sebanyak 5,000 hektar daripada keseluruhan 7,000 hektar kawasan sawah di luar kawasan jelapang padi dalam projek yang dikenali sebagai Ketara Fasa 2.

"Kita juga sudah mengenal pasti dan akan membuka beberapa lokasi baharu untuk penanaman padi.

"Kita sedang meneliti sawah padi yang berpotensi untuk diperluaskan dengan penanaman padi bagi meningkatkan penghasilan beras," katanya selepas Majlis Agihan Bantuan Input Penternakan Ruminan anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri peringkat daerah Hulu Terengganu dan Marang di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Pengarah JPV negeri, Dr Anun Man.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Jabi turut menyampaikan bantuan input penternakan ruminan bernilai RM101,395 kepada penternak di daerah Marang, manakala RM111,015 kepada penternak di daerah Hulu Terengganu.

Katanya, antara kawasan penanaman padi baharu akan dibuka ialah di Kampung Durian Mentangau, Paya Dadong dan Skim Paya Paman.

"Kita sudah membina dan menaik taraf semula sistem pengairan di kawasan berkenaan sehingga mampu diusahakan semula dengan penanaman padi.

"Kira-kira 40 hektar sawah dibuka sebuah syarikat swasta dengan mempraktikkan tanaman padi secara organik di Kampung Durian Mentangau," katanya.

Dr Azman berkata, antara usaha lain akan dilakukan kerajaan negeri ialah meningkatkan kesuburan tanah supaya dapat mempertingkatkan penghasilan pengeluaran padi pada setiap hektar.

"Kawasan yang biasanya hanya menghasilkan tiga tan metrik sehektar akan ditingkatkan kepada lima tan metrik manakala kawasan yang menghasilkan padi lima tan metrik sehektar akan ditingkatkan kepada lapan tan metrik sehektar.

"Kita sudah menaik taraf infrastruktur pengairan, meningkatkan kesuburan tanah dan melakukan kerja peralatan tanah sawah," katanya.

Katanya, kerajaan juga akan menaik taraf kawasan penanaman padi kepada dua kali setahun, termasuk di beberapa kawasan di daerah Dungun, Kemaman dan Kuala Nerus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 10:21 AM