Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Artis grafik, Fahmi Reza direman selama sehari bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan ke atas Raja Permaisuri Agong, Tunku Maimunah Iskandariah.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

"Fahmi direman satu hari pada Sabtu untuk siasatan polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Huzir memaklumkan Fahmi Reza atau nama sebenarnya Fahmi Reza Mohd Zarin ditahan di ibu negara oleh sepasukan anggota JSJ Bukit Aman.

Penahanan ke atas suspek dibuat susulan satu laporan polis yang diterima berkaitan satu hantaran yang dibuat suspek menggunakan akaun Facebook Fahmi Reza dipercayai menghina Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 1:04 PM