Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Pereka grafik akan dibawa polis untuk mendapatkan perintah reman hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, JSJ menahan pemilik akaun Facebook itu, Mohd Fahmi semalam di Kuala Lumpur.

Menurutnya, lelaki itu akan dibawa ke hadapan Majistret untuk permohonan reman.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Huzir berkata, penahanannya dibuat selepas polis menerima laporan berhubung penghinaan beliau terhadap Raja Permaisuri Agong.

"Polis menggesa orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta mengganggu gugat keharmonian negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dan mengganggu gugat ketenteraman awam," katanya.

Berita berkaitan

Pereka grafik ditahan untuk siasatan hina Raja Permaisuri Agong

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 12:16 AM