Foto hiasan
Foto hiasan
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kelantan mencatatkan kes positif Covid-19 baharu harian tertinggi di negara ini dengan 662 kes daripada keseluruhan 2,875 kes hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Izani Husin berkata, kes yang direkodkan hari ini adalah yang tertinggi di Kelantan.

Menurutnya, peningkatan kes menjadikan kes kumulatif negeri itu adalah sebanyak 10,199 kes.

"Selain itu, kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 yang dicatatkan 1.44 juga melebihi kadar Rt Nasional iaitu 1.15.

"Kelantan juga masih mempunyai kes tertangguh melebihi 3,000 kes dan kes aktif adalah sebanyak 3,493 kes.

"Satu kluster baharu dilaporkan menjadikan sebanyak 31 kluster aktif di negeri ini," katanya di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kes jangkitan Covid-19 yang meningkat menyebabkan fasiliti hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) penuh.

Menurutnya, pada masa ini kakitangan kesihatan yang bertugas tidak mencukupi.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan membuka satu lagi PKRC khas bagi menempatkan pelajar sekolah yang positif.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ia menjadikan PKRC ketujuh di Kelantan susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 6:22 PM