GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kadar penggunaan katil di hospital dan enam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kelantan hampir penuh susulan kes Covid-19 di negeri itu meningkat.

Lima PKRC yang sedia ada sudah mencecah bilangan pesakit antara 79 hingga 103 peratus, manakala sebuah PKRC yang baharu dibuka beberapa hari lalu sudah mencecah bilangan pesakit 33 peratus.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata susulan peningkatan jumlah pesakit, pihaknya bercadang untuk membuka satu lagi PKRC dalam masa terdekat iaitu Dewan Jabatan Belia di Panji.

"Jika kes semakin meningkat, terdapat pesakit yang terpaksa diasingkan di rumah. Bagi mengurangkan sampel yang tertunggak, Jabatan Kesihatan sudah mendapat bantuan dari makmal di Hospital Universiti Sains Malysia (HUSM) dan Makmal Kesihatan Awan Ipoh, Perak," katanya.

Dr Zaini berkata, jangkitan dalam kluster dilaporkan berlaku di tempat kerja atau sekolah serta masjid semasa kelas pengajian dan bermesyuarat.

"Selain itu, majlis keramaian seperti kenduri, penjara dan komuniti. Sebanyak 23 peratus dikesan melalui saringan bergejala dan tidak bergejala serta dari zon merah yang tiada kaitan epidemiologi. Jumlah peratusan itu menunjukkan jangkitan dalam komuniti adalah tinggi," katanya.

Beliau berkata, Kelantan terus mencatatkan kadar kebolehjangkitan (RT) harian tertinggi di negara ini iaitu pada 1.43 setakat semalam berbanding RT nasional 1.16.

Media semalam melaporkan, Kelantan merekodkan kes tertinggi dengan 332 kes baharu Covid-19 dengan dua kematian.

Pada masa sama, dua kematian membabitkan dua warga emas masing-masing lelaki berusia 77 tahun dan wanita berusia 72 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 3:28 PM