MASJID Al Khiriah, Taman Seri Gombak. FOTO Mohd Yusni Ariffin
MASJID Al Khiriah, Taman Seri Gombak. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Puasa batal dan perlu diganti. Pengesahan itu diberikan Mufti Selangor Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid mengenai status puasa mereka yang berpandukan azan di Masjid Al Khairiyah Taman Seri Gombak, Isnin lalu.

Bagaimanapun, penggantian puasa itu tidak tertakluk kepada mereka yang berbuka di hujung atau selepas azan kerana ia dikira sudah masuk waktu berdasarkan waktu zon tempatan.

Katanya, waktu solat adalah mengikut zon di negeri-negeri dan bagi kes berkenaan, puasa mereka yang berbuka berpandukan azan pada 7.18 malam itu adalah terbatal dan wajib diganti.

"Biasanya azan mengambil masa selama tiga minit. Kawasan Seri Gombak itu termasuk di dalam Zon 1 iaitu Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.

"Bagaimanapun, bahagian falak Mufti Selangor berdasarkan kajian menetapkan jika seseorang berbuka cepat dua minit sebelum masuk waktu dikira sah.

"Jadi bagi mereka yang berbuka di hujung azan atau selepasnya dikira sah kerana berada di dalam tempoh dua minit itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Tamyes bagaimanapun memuji tindakan nazir masjid berkenaan yang berani berterus terang mengenai kesilapan berkenaan.

Katanya, semua orang melakukan kesilapan dan mereka yang berkenaan perlu memaafkan pihak yang tidak sengaja mengalunkan azan lebih awal.

"Dia bukannya sengaja. Kita semua perlu berlapang dada. InsyaAllah amal ibadat kita sepanjang hari itu diterima," katanya.

Tular di media sosial sejak semalam kenyataan bahawa jemaah yang berbuka puasa bergantung kepada azan Maghrib masjid itu kelmarin, 7 Ramadan 1442 atau 19 April 2021, bahawa puasa terbatal.

Masalah teknikal paparan jam digital di masjid pada hari berkenaan menyebabkan azan maghrib dilaungkan tiga minit lebih awal dan ia hanya disedari apabila ahli jawatankuasa masjid melihat jam masing-masing.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 4:26 PM