Siti Aisah bersama bakal suami Wan Azman berusaha menjejaki ayahnya, Suhaimi Riduan. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Siti Aisah bersama bakal suami Wan Azman berusaha menjejaki ayahnya, Suhaimi Riduan. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: "Saya tidak pernah melihat wajah ayah sejak kecil dan hanya kenal namanya sahaja," luahan sayu Siti Aisah Suhaimi, yang bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan depan.

Siti Aisah, 23, berkata, walaupun pernah beberapa kali cuba menjejaki bapanya, Suhaimi Riduan, 45, berdasarkan alamat terakhir ditinggalkan, namun dia tetap gagal dijumpai.

Menurutnya, alamat terakhir bapanya ialah Lot 5629 D Jalan Kuari, Batu 11 1/2, Sungai Serai, 43100 Hulu Langat, Selangor.

"Saya pernah ke situ untuk mencarinya, tetapi tidak jumpa dan tidak ada jiran atau penduduk kawasan itu mengenalinya.

"Saya merayu jika ayah atau sesiapa sahaja yang mengenali dirinya supaya menghubungi saya secepat mungkin," katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, selain mahu mengubat kerinduan sebagai seorang anak, dia perlu mendapatkan keizinan bapanya sebagai wali untuk majlis akad nikahnya.

Katanya, dia bersama pasangan, Wan Azman Wan Azizan, 23, dijadualkan akan melangsungkan majlis pernikahan pada 23 Mei ini.

"Berdasarkan cerita keluarga angkat yang menetap di Pasir Akar, Besut, saya diserahkan kepada mereka melalui bantuan rakan dan sejak itu ayah tidak pernah datang menemui saya.

"Jika ada sesiapa yang mengenali bapa saya boleh menghubungi saya di talian 011-25709004," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 1:57 PM