GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Kerana mahu mengelak didenda akibat kehilangan kad pengenalan, seorang jurujual wanita membuat laporan polis palsu kononnya dia diragut di pekan Bahau, di sini semalam.

Jurujual berusia 22 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol mendakwa dia menjadi mangsa ragut dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek menyangka membuat laporan palsu dapat mengelakkan didenda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atas kecuaian dilakukan.

Katanya, suspek kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada 1.30 tengah hari.

"Suspek mendakwa dompet miliknya mengandungi kad pengenalan, lesen memandu dan wang tunai sebanyak RM700, hilang dilarikan peragut.

"Bagaimanapun, siasatan dijalankan mendapati keterangan suspek meragukan dan akhirnya dia mengaku membuat laporan palsu," katanya.

Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok kerana membuat laporan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 4:08 PM