GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Daerah Dang Wangi membuka 23 kertas siasatan berkaitan laporan palsu yang diterima pihaknya bagi tempoh 1 Januari hingga 27 April lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, laporan itu diterima pihaknya daripada individu yang mendakwa mereka dirompak.

"Siasatan lanjut dilakukan mendapati laporan berkenaan adalah palsu dan dibuat semata-mata bagi mengelak dikenakan penalti daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atas kesalahan kehilangan kad pengenalan.

"JPN menetapkan denda sebanyak RM100 bagi kesalahan kali pertama kehilangan kad pengenalan, RM300 (kesalahan kali kedua) dan RM1,000 (kesalahan ketiga dan seterusnya)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, pihaknya memandang serius berhubung isu laporan palsu bagi tujuan mengelak penalti dikenakan oleh JPN atas kehilangan kad pengenalan.

"Hasil siasatan dilakukan, sebanyak 14 kes dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

"Kes-kes berkenaan juga dituduh mengikut Peraturan 25 (1) (N) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

"Sembilan lagi kes yang direkodkan sepanjang tempoh berkenaan pula masih dalam siasatan," katanya.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu bagi melindungi perbuatan salah yang dilakukan.

"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati menbuat laporan palsu di bawah peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 11:54 AM