Aizat Sharif

Kangar: Sebanyak 10 peniaga Bazar Ramadan Persiaran Wawasan, di sini, dikesan menjalankan perniagaan tanpa mempamerkan tanda harga pada makanan atau minuman yang dijual di bazar itu, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, Norazah Jaapar berkata, memasuki hari kedua Ramadan, pihaknya mendapati masih ramai peniaga yang mengambil sikap lewa dalam pematuhan untuk mempamerkan tanda harga pada makanan atau minuman.

"Dari segi aduan, kita masih belum menerima sebarang aduan atau isu berkenaan harga di bazar Ramadan, namun langkah yang kita lakukan pada hari ini lebih kepada sesi advokasi di mana kita mengedarkan risalah kepada peniaga berkenaan peringatan supaya mereka meletakkan tanda harga.

"Kita dapati ada peniaga yang memulakan jualan tanpa meletakkan tanda harga, dari satu sudut kita faham bahawa mereka baru saja memulakan perniagaan tetapi sebenarnya hanya boleh memulakan perniagaan setelah tanda harga diletakkan atau dipamerkan untuk rujukan pelanggan.

"Ini penting kerana jika tidak nanti, mereka boleh dikompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

NORAZAH (kanan) mengedarkan risalah advokasi kepada peniaga ayam bakar, Izatul Nordin di Persiaran Wawasan, Kangar supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. FOTO Aizat Sharif
NORAZAH (kanan) mengedarkan risalah advokasi kepada peniaga ayam bakar, Izatul Nordin di Persiaran Wawasan, Kangar supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. FOTO Aizat Sharif

Beliau berkata kepada pemberita selepas melakukan pemantauan harga di bazar Ramadan, Persiaran Wawasan, di sini, semalam.

Turut hadir dalam melakukan pemantauan berkenaan adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof.

Norazah berkata, pemantauan berkenaan dijalankan selepas melihat berlaku kenaikan dalam harga bahan mentah seperti ayam segar, sawi dan sotong di seluruh negara.

"Kita mengharapkan juga supaya peniaga dapat memainkan peranan dalam hal ini dengan tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya," katanya.

Beliau berkata, penguatkuasa KPDNHEP Perlis kerap melakukan pemantauan menerusi 'Ops Pantau' yang dijalankan semasa Ramadan ini.

"'Ops Pantau ini akan memfokuskan kepada harga barangan keperluan harian dan juga jualan di bazar Ramadan dan ia tidak difokuskan kepada satu tempat sahaja, sebaliknya kita akan pergi ke segenap bazar Ramadan dan juga pasar awam untuk tujuan pemantauan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 9:26 AM