Semua bazar Ramadan kelolaan MPKPs di Perlis kini menggunakan sistem kad giliran bagi mengehadkan pengunjung berhimpun di bazar Ramadan pada satu masa. FOTO IHSAN MPKPs
Semua bazar Ramadan kelolaan MPKPs di Perlis kini menggunakan sistem kad giliran bagi mengehadkan pengunjung berhimpun di bazar Ramadan pada satu masa. FOTO IHSAN MPKPs
Oleh Aizat Sharif


Kangar: Kerajaan negeri tiada perancangan untuk menutup atau menghentikan operasi bazar Ramadan, Aidilfitri dan pasar segar di negeri itu berikutan peningkatan kes Covid-19 di beberapa negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penjaja dan Peniaga Kecil, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perlis, Azizan Sulaiman berkata, pihaknya tidak akan melakukan tindakan drastik seperti itu disebabkan kadar jangkitan Covid-19 di negeri itu dalam keadaan terkawal.

Menurutnya, selain itu tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat terutama di tempat awam juga masih baik.

"Malah, kita turut menambah baik sistem SOP yang dijalankan di bazar Ramadan dengan melaksanakan sistem kad giliran bagi mengehadkan pengunjung bazar Ramadan daripada terus memenuhi kawasan bazar pada satu masa.

"Sistem kad giliran ini sudah dijalankan pada hari ketiga Ramadan (Khamis) lalu di mana hanya sekitar 150 hingga 200 pengunjung bazar Ramadan sahaja dibenarkan masuk dan yang lain harus menunggu," katanya hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan sistem kad giliran bukan sahaja dilaksanakan di bazar Ramadan kelolaan Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs), malah bazar Ramadan oleh pihak swasta.

"Masyarakat melihat pematuhan SOP ini sebagai perkara terpenting dalam mengelakkan penularan Covid-19.

"Malah, sistem ini juga disyaratkan di semua tempat termasuklah bazar Ramadan kelolaan pihak swasta. Kompaun boleh dikenakan sekiranya didapati ada pihak masih berdegil dalam mematuhi peraturan," katanya.

Sebanyak lima tapak bazar Ramadan dianjurkan oleh MPKPs tahun ini iaitu di Persiaran Wawasan di Kangar, tapak Pasar Besar Arau, hadapan Rancangan Perumahan Awam (RPA) Pauh, tapak Pasar Malam Lama Kuala Perlis dan hadapan Taman Singgahsana, Padang Besar.

Azizan berkata, operasi pasar segar juga masih dijalankan dengan pelaksanaan SOP yang ditetapkan.

"Bagi bazar Aidilfitri pula, pelaksanaan SOPnya juga serupa seperti bazar Ramadan iaitu menggunakan kad giliran," katanya.

Sehingga semalam, Perlis merekodkan sebanyak 346 kes jangkitan Covid-19 dan kembali menjadi zon kuning selepas berada dalam zon hijau selama dua minggu dari 28 Mac hingga 10 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 3:22 PM