KEADAAN bumbung rumah penduduk selepas dilanda ribut. FOTO Ihsan APM
KEADAAN bumbung rumah penduduk selepas dilanda ribut. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: "Dalam tempoh tak sampai lima minit, habis bumbung rumah penduduk berterbangan.

"Saya serta keluarga hanya sempat melarikan diri ke dapur ketika air hujan mencurah masuk melalui bahagian ruang tamu rumah," kata Mohd Hasbullah Isa, 43.

Itu cerita seorang daripada penduduk Felda Lubuk Merbau, di sini, selepas kampung berkenaan dilanda ribut pada 5 petang, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia baru selesai memotong rumput sebelum ternampak awan bertukar gelap menyebabkan dia masuk ke dalam rumahnya.

ANGGOTA APM membantu memotong pokok tumbang. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM membantu memotong pokok tumbang. FOTO Ihsan APM

Katanya, ketika itu dua anaknya berusia enam dan lapan tahun berada dalam rumah manakala isterinya, Azian Ishak, 40, sedang memasak juadah berbuka puasa di dapur.

"Alhamdulillah, kami sekeluarga tidak mengalami kecederaan cuma masih terkejut dengan kejadian yang berlaku.

"Mungkin ini ujian buat kami pada hari pertama Ramadan, semalam," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap merangkap Sekretariat Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shafaril Ismail berkata, pihaknya menerima laporan terdapat 95 rumah termasuk lima bangunan kerajaan di tiga kawasan iaitu di mukim Tekai Kiri, Felda Lubuk Merbau dan Kampung Bagan, di sini, dilanda ribut.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka.

"Lima bangunan kerajaan termasuk klinik Kesihatan, Tadika Kemas, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Merbau, Klinik Kesihatan Lubuk Merbau dan pondok polis turut terjejas.

"Terdapat juga pokok tumbang dalam kejadian itu namun setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 5:40 PM