KEADAAN sekitar Kuala Lumpur yang terjejas akibat banjir kilat dan ribut. FOTO Ihsan APM
KEADAAN sekitar Kuala Lumpur yang terjejas akibat banjir kilat dan ribut. FOTO Ihsan APM
Nurul Hidayah Bahaudin


HUJAN lebat dan ribut kira-kira 5 petang hari ini mengakibatkan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat, selain mengakibatkan pokok tumbang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Lumpur, Kapten (PA) Aziana Hizazi berkata, tiga lokasi yang terjejas akibat banjir kilat ialah Jalan Jelatek, Terowong Sultan Yahya Petra dan kawasan Flat PKNS Kampung Baru.

Katanya, pihaknya juga menerima laporan berkaitan pokok tumbang di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bonus, Apartment Jasmin Setapak, Jalan Rejang 5 dan Kolej Siswa Jaya UTM Ayer Panas.

“Selain itu, ada laporan bumbung runtuh diterima di Blok D, Flat Desa Rejang turut diterima berikutan kejadian hujan lebat serta ribut berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aziana berkata, seramai 20 anggota bersama lima jentera APM Kuala Lumpur dikejarkan ke lokasi berkenaan bagi melakukan pemantauan dan memotong pokok yang tumbang.

“Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara dibuka dan tiada individu dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

“Difahamkan banjir kilat di kawasan terjejas masih belum surut, manakala kerja pengalihan pokok tumbang sedang giat dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 8:23 PM