MOHD Radzi Md Amin (tengah) bermesra dengan sebahagian penerima pada majlis Penyerahan Sumbangan Mangsa Ribut di Dewan Petunas Felda Lubuk Merbau. FOTO Luqman HaKim Zubir
MOHD Radzi Md Amin (tengah) bermesra dengan sebahagian penerima pada majlis Penyerahan Sumbangan Mangsa Ribut di Dewan Petunas Felda Lubuk Merbau. FOTO Luqman HaKim Zubir
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: "Alhamdulillah, terima kasih kerana hulur sumbangan untuk baik pulih rumah," kata ibu Che Piah Hanapi, 74, mangsa ribut di Felda Lubuk Merbau, kelmarin.

Che Piah adalah antara 95 mangsa ribut yang menerima wang ihsan RM300 daripada Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bantuan makanan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd Radzi Md Amin hari ini.

Menurut Che Piah, mujur ketika kejadian yang menyebabkan sebahagian bumbung rumahnya tercabut dia berada di rumah anaknya di kampung berhampiran.

"Anak saya tidak izinkan saya pulang ke rumah kerana bimbang dengan keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya selepas menerima sumbangan disampaikan Mohd Radzi dan Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman di Dewan Petunas, Felda Lubuk Merbau di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata pihaknya akan memohon bantuan kerajaan negeri untuk membaik pulih sebanyak enam rumah yang mengalami kerosakan lebih 70 peratus.

"Saya difahamkan terdapat empat rumah di Felda Lubuk Merbau rosak teruk dan dua lagi rumah di Kampung Bagan, Naka.

"Kerugian mereka dianggar antara RM7,000 hingga RM15,000. Bagi rumah yang rosak sikit, penduduk boleh baiki sendiri menggunakan wang bantuan yang diserahkan hari ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang kelmarin, persiapan lebih 400 penduduk di Felda Lubuk Merbau untuk berbuka puasa tergendala apabila rumah mereka rosak akibat dipukul ribut.

Selain rumah penduduk, turut terjejas ialah bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Merbau, Klinik Kesihatan Lubuk Merbau dan pondok polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 3:34 PM