Keadaan sebuah rumah dekat Pendang yang kehilangan bumbung selepas dilanda ribut petang semalam. Foto Ihsan APM
Keadaan sebuah rumah dekat Pendang yang kehilangan bumbung selepas dilanda ribut petang semalam. Foto Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli

Pendang: Kira-kira 11 rumah di dua kampung di daerah ini rosak selepas sebahagian bumbung rumah diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang semalam.

Dalam kejadian pada 6.30 petang itu, lima bumbung rumah di Felda Sungai Tiang diterbangkan angin, manakala enam rumah lagi yang terjejas adalah di Kampung Titi Akar.

Turut terjejas dalam kejadian itu, rumah seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang, Nur Izzati Zahirun, 33, apabila sebahagian bumbung termasuk sebuah bilik tidur di rumahnya di Felda Sungai Tiang diterbangkan angin.

Menurutnya, ketika kejadian dia keluar ke Pekan Pendang kerana mempunyai urusan sebelum ibunya, Mariah Harun, 58, menghubunginya dan memaklumkan rumah mereka dilanda ribut.

"Saya sepatutnya bertugas syif malam dan tak sedap hati bila nampak cuaca ketika itu gelap dan hendak hujan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Nur Izzati, mereka sekeluarga masih bermalam di rumah itu dan berlindung di bahagian ruang tamu rumah yang tidak terjejas.

Katanya, kawasan rumah itu jarang dilanda ribut namun bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku.

"Ketika kejadian, ada enam ahli keluarga saya di rumah berkenaan namun kesemuanya selamat kerana sempat berlindung di dapur dan ruang tamu yang tidak terjejas," katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Pendang Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, anggota APM bertindak membersihkan kawasan itu dengan memotong dahan pokok yang tumbang dan menghalang laluan jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 8:24 AM