Keadaan di Bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang yang dikesan gagal mematuhi SOP. Foto Ihsan MDPT
Keadaan di Bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang yang dikesan gagal mematuhi SOP. Foto Ihsan MDPT
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang dekat sini, menjadi bazar pertama di Kedah diarah tutup esok selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti.

Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) Datuk Md Shuhaime Abd Rahman berkata, arahan penutupan bazar itu dibuat selepas pihaknya mengesan ketidakpatuhan arahan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Antara SOP MKN yang tidak dipatuhi penganjur, peniaga dan pengunjung di bazar berkenaan ialah tiada kaunter saringan atau pemeriksaan suhu peniaga dan pengunjung.

"Selain itu, pihak kami mendapati tiada kawalan keluar masuk pelanggan ke tapak bazar selain tiada rekod pendaftaran masuk secara manual mahupun melalui aplikasi QR kod MySejahtera," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Md Shuhaime berkata, pemantauan dan pemeriksaan dilakukan pihaknya juga mendapati terdapat peniaga serta pengunjung tidak memakai pelitup muka.

Katanya, penganjur juga gagal menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pengunjung bazar Ramadan di situ termasuk pengunjung tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

"Satu mukim di daerah ini menjadi zon kuning apabila terdapat satu kes aktif, kita bimbang ia menular ke dalam kelompok komuniti, berikutan itu kita mengeluarkan notis arahan penutupan bazar itu hari ini.

"Sekiranya arahan ini gagal dipatuhi, tindakan penguatkuasaan dan undang-undang akan diambil selaras dengan peruntukkan kuasa kepada MDPT mengikut Seksyen 72(1)(f) Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 10:20 PM