GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta sebagai bayaran sagu hati kepada 2,500 peniaga bazar Ramadan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, bayaran itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi meringankan beban peniaga yang terkesan disebabkan pembatalan operasi bazar.

"Agihan akan dibuat berdasarkan senarai nama yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing dan setakat ini angkanya seramai 2,500.

"Kita harap dengan sedikit sagu hati ini dapat meringankan beban sesetengah mereka yang berdepan kesukaran mendapatkan modal dan bahan mentah yang sudah dibeli itu boleh dijalankan perniagaan di tempat lain," katanya ketika sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Dr Izani berkata, proses pengagihan sagu hati itu diuruskan oleh PBT masing-masing yang akan menghubungi peniaga bazar yang berdaftar.

Menurutnya lagi bayaran tapak bazar yang sudah dibuat oleh peniaga juga akan dipulangkan semula.

"Jika ada peniaga yang ingin berniaga di lokasi lain contohnya gerai tepi jalan, kita tidak ganggu cuma minta patuhi prosedur standard operasi (SOP) sebaik mungkin.

"Sekiranya PBT buat rondaan atau pemantauan dan pematuhan tidak berlaku, saya rasa tidak teragak-agak untuk kenakan tindakan," katanya.

Ketika ditanya sama ada kemungkinan bazar Ramadan akan kembali dibuka bila-bila masa sepanjang tempoh Ramadan beliau menjawab, ia tidak akan berlaku kerana kerajaan negeri lebih menitikberatkan soal status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Walaupun semalam rasa gembira dengan penurunan kes namun dengan kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 yang tinggi kita jangka akan terus meningkat dan kita bimbang status PKPB akan bertukar kepada PKP.

"Pengumuman PKP diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan laporan, bukannya kerajaan negeri dan jika kes tidak dapat dikawal, PKP boleh diisytiharkan bila-bila masa.

"Ini bukan satu ugutan tapi kenyataan kerana apabila PKP, semua orang susah, ekonomi merudum malah kerajaan lagi sengsara untuk mencari jalan membantu rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 3:56 PM