MAJLIS Cerapan Rasmi Hilal Ramadan 1442H di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MAJLIS Cerapan Rasmi Hilal Ramadan 1442H di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tahun ini adalah tahun kedua umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia menyambut Ramadan dalam suasana pandemik Covid-19 namun tetap dapat dirai dalam norma baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, namun, kemeriahan bulan ibadat dan perayaan ini tetap dapat diraikan dengan penuh keberkatan dan kesabaran serta mengamalkan norma baharu demi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 ini dapat

diputuskan.

Menurutnya, seperti diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), tahun ini masyarakat berpeluang untuk mengunjungi bazar Ramadan namun beberapa negeri memutuskan untuk mengambil langkah lebih berjaga-jaga memandangkan jumlah kes harian Covid-19 masih tidak stabil di beberapa negeri.

"Sehubungan itu, KKM ingin menyeru kepada masyarakat supaya tidak leka dan mengambil iktibar daripada penyebaran jangkitan Covid-19 daripada aktiviti sosial seperti kunjung-mengunjungi ke rumah rakan-rakan dan sanak saudara, perjalanan rentas negeri, atau menghadiri perhimpunan besar-besaran.

"KKM ingin menasihatkan agar semua individu untuk sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat termasuk keluar dari rumah tanpa ada keperluan yang penting, menghadiri perhimpunan atau keraian berbuka puasa secara besar-besaran, dan bersesak-sesak di bazar Ramadan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM khuatir aktiviti yang tidak terkawal seperti ini akan mengakibatkan peningkatan penularan jangkitan Covid-19 di dalam komuniti.

"Sepanjang Ramadan ini juga, KKM ingin mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan empat kunci keselamatan makanan bagi memastikan makanan yang disediakan untuk ahli keluarga yang tersayang adalah bersih dan selamat.

"Empat kunci keselamatan itu adalah gunakan bahan mentah yang segar dan air yang bersih serta gunakan peralatan yang berasingan untuk makanan mentah bagi mengelakkan pencemaran kepada makanan yangdimasak.

"Selain itu, masak makanan dengan sempurna dan pastikan ia dimakan dalam tempoh tidak melebihi dari empat dan simpan makanan pada suhu yang bersesuaian dan tidak melebihi tiga hari di dalam peti sejuk," katanya.

Beliau berkata, kerjasama daripada semua lapisan masyarakat amatlah diperlukan supaya negara dapat melandaikan keluk pandemik Covid-19 ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 7:51 PM