Kenderaan Toyota Hilux yang dicuri berjaya ditemui oleh pasukan polis. FOTO IHSAN PEMBACA
Kenderaan Toyota Hilux yang dicuri berjaya ditemui oleh pasukan polis. FOTO IHSAN PEMBACA
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua penjenayah menaiki trak pikap curi cuba merempuh dua anggota polis memaksa tembakan dilepaskan dalam kejadian di Kampung Dambai, Papar, pagi tadi.

Dalam kejadian pada 6.30 pagi itu, polis terbabit terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk mempertahankan diri, namun suspek berjaya meloloskan diri.

Difahamkan, polis menerima maklumat berhubung kejadian kes curi kenderaan di Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu, jam 5 pagi.

Anggota polis bertugas kemudian menjalankan rondaan selepas menerima maklumat kenderaan itu menuju ke Papar.

Ketika membuat rondaan di sekitar Kampung Dampai, Papar, dua anggota polis berjaya mengesan kenderaan berkenaan dan meminta pemandu dan penumpang turun untuk pemeriksaan namun suspek bertindak agresif dengan cuba merempuh anggota terbabit.

Sebagai tindakan mempertahankan diri, anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan mengenai bahagian belakang kenderaan Toyota Hilux berkenaan.

Bagaimanapun, kenderaan itu memecut laju ke Jalan Uku Bogok dan polis mengekorinya sebelum menemukan kenderaan itu parkir di tepi jalan.

Namun hasil pemeriksaan, kedua-dua suspek tiada dipercayai melarikan diri.

Akibat kejadian itu, salah seorang anggota polis cedera di jari tangan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan kedua-dua suspek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 4:31 PM