Kesan tembakan pada kenderaan Toyota Hilux.
Kesan tembakan pada kenderaan Toyota Hilux.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis sudah mengenal pasti identiti dua suspek yang cuba merempuh anggota polis ketika ditahan kerana terbabit kes curi kenderaan di Kampung Dambai, Papar, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, kedua-dua suspek kini sedang dikesan.

"Insya Allah, dalam masa terdekat kita dapat menangkap suspek terbabit.

"Kita sudah kenal pasti dan minta mereka (suspek) serah diri," katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas membabitkan tujuh pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Hazani berkata, suspek turut cedera dalam kejadian itu dan meminta klinik swasta atau kerajaan yang didatangi individu untuk mendapatkan rawatan hasil kecederaan itu supaya segera memaklumkan kepada polis.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Semalam, dua penjenayah menaiki trak pikap curi cuba merempuh dua anggota polis memaksa tembakan dilepaskan dalam kejadian di Kampung Dambai, Papar.

Dalam kejadian pada 6.30 pagi itu, polis terbabit terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk mempertahankan diri, namun suspek berjaya meloloskan diri.

Akibat kejadian itu, seorang daripada anggota polis cedera di jari tangan.

Berita berkaitan:

  • Suspek curi kenderaan cuba rempuh polis
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 3:03 PM