Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Bazar Ramadan di Kelantan dibenarkan beroperasi sepanjang bulan puasa ini dengan jumlah kapasiti penjual dan pembeli yang bersesuaian dengan lokasi.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, bazar Ramadan juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, penjual hanya dibenarkan melayan dua pelanggan pada satu-satu masa.

"Kita mengingatkan perlu ada penjarakan fizikal di bazar Ramadan dan yang paling penting jumlah penjual serta pembeli perlu mengikut kapasiti tempat.

"Peniaga juga hanya boleh melayan dua pelanggan sahaja pada satu-satu masa bagi memastikan penjarakan sentiasa dipatuhi. Mereka yang pergi ke bazar Ramadan juga perlu memakai pelitup muka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pasar Awam dan Penyerahan Kuarters Kerajaan Bandar Satelit Islam Pasir Tumboh di sini, hari ini.

Ahmad (kanan) melawat kawasan Pasar Sit Maryam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ahmad (kanan) melawat kawasan Pasar Sit Maryam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Izani Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Pada perkembangan yang lain beliau berkata, Kelantan juga membenarkan solat Tarawih dan hanya perlu mengambil atau menggunakan imam yang ada di negeri ini sahaja.

"Kita ada ramai imam tempatan yang hasil keluaran pengajian tahfiz, sains dan pembelajaran normal. Jadi pihak masjid boleh guna khidmat mereka memandangkan imam dari luar tidak dapat masuk kerana pintu sempadan masih ditutup.

"Program Madinah Ramadan kita juga menggunakan khidmat imam yang sedia ada dan hanya membenarkan 500 orang sahaja hadir pada satu-satu masa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 1:19 PM