Bazar Ramadan Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Bazar Ramadan Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Shahrinnahar Latib

KEPUTUSAN sama ada dibenarkan atau tidak penganjuran bazar Ramadan di Pahang tahun ini akan dibuat pada Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) esok.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Abd Rahim Muda berkata, kerajaan negeri masih meneliti sama ada membenarkan atau tidak bazar Ramadan di negeri ini.

“Rabu ini (esok), mesyuarat akan memutuskan sama ada menutup atau membuat bazar Ramadan. Kita lihat beberapa negeri lain sudah tidak membenarkan bazar Ramadan.

“Jika bazar Ramadan tidak dibenarkan dibuka, beberapa alternatif lain akan dilaksanakan bagi membantu peniaga untuk mendapatkan pendapatan pada Ramadan ini seperti kaedah pembayaran tunai semasa serahan (COD),” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pasar Besar Kuantan hari ini.

Sementara itu, katanya, kira-kira 99 peratus pengunjung dan peniaga Pasar Besar Kuantan mengikuti arahan yang ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Antara syarat dan arahan yang ditetapkan adalah pasar hanya dibuka bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari, diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut serta dihadkan hanya 30 orang yang masuk pada satu-satu masa.

“Setakat ini dari pemantauan dibuat, kawalan yang dibuat oleh MPK ini sangat bagus kerana dapat mengawal penjarakan sosial antara pembeli dan penjual,” katanya.

Menurutnya, pengunjung yang datang juga perlu membasuh tangan sebelum masuk dan selepas keluar daripada pasar untuk memastikan kebersihan dapat dijaga.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 2:50 PM