Tan Yu Yeh yang memiliki MR DIY
Tan Yu Yeh yang memiliki MR DIY
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Adik-beradik Tan, iaitu Tan Yu Yeh dan Tan Yu Wei yang memiliki MR DIY Group (M) Bhd menjadi muka baru dalam senarai hartawan Forbes tahun ini.

Kekayaan Yu Yeh dianggarkan bernilai AS$1.8 bilion (RM7.4 bilion) manakala, Yu Wei sekitar AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).

Forbes memaklumkan bahawa kekayaan dua beradik itu hasil daripada pegangan dalam perniagaan kedai perkakasan kediaman MR DIY.

MR DIY disenaraikan dalam Bursa Malaysia pada Oktober tahun lalu yang juga tawaran awam permulaan (IPO) terbesar sejak 2017 dengan modal pasaran RM10 bilion.

Selain adik-beradik Tan, Tan Sri G Gnanalingam yang memiliki Westports Holdings Bhd juga menjadi muka baru dalam senarai berkenaan dengan anggaran kekayaan AS$1.7 bilion (RM7.02 bilion).

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Greatech Technology Bhd, Tan Eng Kee juga berada dalam senarai Forbes tahun ini dengan nilai kekayaan AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).

Hartawan Malaysia yang turut berada dalam senarai berkenaan adalah pengasas bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan dengan nilai kekayaan kira-kira RM40.1 bilion, Ananda Krishnan (RM24 bilion), Tan Sri Teh Hong Piow (RM24 bilion), Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (RM5 bilion) dan taikun sarung tangan - Pengerusi Hartalega Holdings Bhd, Kuan Kam Hon dan keluarganya (RM16.1 bilion) serta Pengasas Top Glove Corp Bhd, Tan Sri Dr Lim Wee Chai (RM14.5 bilion).

Sementara itu, bagi senarai individu terkaya dunia, untuk empat tahun berturut-turut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon, Jeff Bezos, menduduki takhta lelaki terkaya dunia dengan mengumpul AS$177 bilion keuntungan bersih.

CEO SpaceX dan Tesla, Elon Musk, yang dianggarkan memiliki kekayaan bersih AS$151 bilion, melonjak daripada tangga 31 ke tempat kedua.

Jutawan barangan mewah Perancis, Bernard Arnault, kekal di tempat ketiga.

Bill Gates, pengasas Microsoft pula di tangga keempat dengan AS$124 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 9:43 PM