FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Seremban: Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam sindiket mencuri elektrik untuk melombong bitcoin selepas menyerbu tiga premis di sekitar Seremban 2 di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, dalam operasi jam 2 petang dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban turut merampas mesin, peralatan dan kenderaan dianggarkan bernilai RM600,000.

"Dalam serbuan itu juga, sebanyak 300 unit mesin perlombongan bitcoin selain beberapa barangan termasuk tiga monitor, tiga Unit Pemprosesan Pusat (CPU) serta sebuah kenderaan dirampas," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata Tenaga Nasional Berhad mengalami kerugian sebanyak RM75,000 sebulan susulan aktiviti mencuri elektrik untuk melombong bitcoin di tiga premis itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 379 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 8:06 AM