Mesin lombong bitcoin yang dirampas. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Mesin lombong bitcoin yang dirampas. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket melombong bitcoin selepas menyerbu dua lokasi di Taman Sri Sinar, Segambut dan Entrepreneurs Park, Jalan Metro Perdana, Taman Usahawan Kepong, di sini kelmarin.

Sindiket berkenaan didapati menjadikan dua premis terbabit sebagai pusat kegiatan perlombongan maya dengan menggunakan bekalan elektrik yang disambung secara haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan dipercayai dalang kegiatan berkenaan.

"Serbuan pertama dibuat di satu unit kediaman di Taman Sri Sinar Segambut, pada 12.10 tengah malam berdasarkan maklumat dan risikan sehingga membawa kepada tangkapan tiga lelaki serta rampasan 30 unit mesin bitcoin, desktop, TP-Link, unit komputer riba, lima telefon bimbit serta dua kenderaan jenis Toyota Alphard dan Proton Saga.

"Hasil soal-siasat dijalankan membawa kepada satu lagi serbuan yang juga pusat operasi melombong bitcoin secara haram, dua jam kemudian," katanya kepada Harian Metro, di sini, hari ini.

Habibi berkata, dalam serbuan kedua itu pihaknya merampas 58 set mesin aktiviti melombong bitcoin menggunakan bekalan elektrik yang dijana secara haram.

"Selain itu pasukan serbuan merampas masing-masing satu unit monitor, CPU, keyboard, tetikus, router dan unit D Link.

"Semua tiga lelaki yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 27 Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.

Beliau berkata, JSJ Kuala Lumpur sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah membabitkan sindiket tertentu dari orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 2:33 PM