FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu meninggalkan kesan mendalam buat semua namun kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar setiap keluhan dengan menyediakan pelbagai inisiatif serta pakej bagi membantu sektor ekonomi.

Buktinya, pelbagai inisiatif diwujudkan kerajaan antaranya Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 1.0, BPN 2.0, Bantuan Prihatin Rakyat, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Belanjawan 2021.

Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, pandemik Covid-19 sesuatu yang di luar jangkaan kerana tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Langkah membendung pandemik ini sangat memberi kesan kepada ekonomi berbanding dengan kesan dibawa akibat krisis kewangan Asia pada 1997 dan 1998.

"Krisis kewangan Asia menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup -7.4 peratus, tetapi kadar pengangguran pada ketika itu berada paras normal iaitu 3.2 peratus.

"Krisis pandemik Covid-19 memberi impak kepada KDNK lebih rendah iaitu -5.5 peratus berbanding krisis 1997/1998, tetapi kadar pengangguran meningkat kepada 4.5 peratus secara purata pada 2020 (kadar yang lebih tinggi berbanding krisis 1997/1998).

"Ini menandakan 'kecederaan' disebabkan pandemik ini sangat mendalam dan serius," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kerajaan mengambil langkah proaktif merawat kecederaan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

"Hasilnya, pada 2020 memperlihatkan empat pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan dan keberkesanan pakej rangsangan ini dapat dilihat selepas Jun 2020, kadar pengangguran berkurangan daripada 5.3 peratus pada Mei kepada 4.9 peratus pada Jun 2020.

"Keberkesanan ini disokong kuat dengan pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat, jika sektor ekonomi tidak dibuka, pakej rangsangan tadi tidak akan membantu kepada proses pemulihan ekonomi," katanya.

Menurutnya, kecederaan ekonomi sangat berkait rapat dengan kekangan pergerakan atau PKP.

"Apabila adanya langkah kawalan pergerakan dilaksanakan, ekonomi akan menerima kesan.

"Jadi langkah kerajaan melaksanakan pakej rangsangan mini seperti Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dilihat sebagai usaha mengurangkan kesan ekonomi apabila PKP 2.0 dilaksanakan pada awal 2021.

"Ini langkah berterusan kerajaan membantu pemulihan ekonomi untuk 2021," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM) Mohamed Zamri Mohammed mengakui nasib peniaga terbela apabila kerajaan membuat pelbagai pakej bantuan sejak PKP 1.0.

"Peruntukan diberikan akibat golongan terkesan dengan Covid-19 menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar keluhan rakyat terutama peniaga serta penjaja.

"Ramai ahli kami dalam kalangan penjaja yang kebanyakan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang bersyukur dengan bantuan berterusan diberikan kerajaan," katanya.

Rakyat lega terima bantuan kerajaan

Kuala Lumpur: Pelbagai inisiatif diwujudkan kerajaan membuatkan peniaga dan rakyat lega untuk meneruskan kelangsungan hidup bagi mendepani pandemik Covid-19.

Bagi peniaga Aiskrim Malaysia, Nadia Fitri Mohamad Haves, 34, beliau menerima dua bantuan kerajaan menerusi Geran Khas Prihatin dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

"Kami antara yang paling terkesan sebaik PKP dilaksanakan tahun lalu dan awal tahun ini.

"Namun bantuan kerajaan yang berterusan kepada peniaga menyebabkan kami mampu meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Menurutnya, aiskrim buatan mereka yang dijual sekitar Lembah Klang terpaksa ditarik di semua kedai akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan makan di kedai.

"Tetapi kami bersyukur kerana kerajaan sentiasa prihatin dengan peniaga dengan mewujudkan pelbagai pakej bantuan untuk golongan terkesan seperti kami," katanya.

Bagi Liyana Ramli, 36, pula beliau bersyukur menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 1.0 dan 2.0 selepas diberhentikan kerja.

"Saya lega apabila menerima BPN dan dapat berniaga secara kecil-kecilan menggunakan wang berkenaan.

"Kerajaan yang ada sekarang sudah cukup prihatin dan mendengar keluhan rakyat walaupun ekonomi negara terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya.

Kakitangan swasta, Amirul Hakim Osman, 40, berkata, bantuan berterusan diberikan kerajaan sangat membantu golongan pertengahan yang terkesan akibat Covid-19.

"Saya antara yang sangat terkesan kerana pada waktu malam saya melakukan pendapatan sampingan dengan menjual burger, tetapi kerana PKP, semua perniagaan diarah tutup menyebabkan saya hilang punca pendapatan.

"Alhamdulillah, kerajaan mendengar keluhan kami dengan menyediakan pelbagai pakej bantuan terutama BPN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 10:05 AM