PROF MADYA DR MOHD YUSOF SAARI
PROF MADYA DR MOHD YUSOF SAARI

Kuala Lumpur: Pakar ekonomi memuji tindakan kerajaan memastikan ketahanan ekonomi ketika negara berdepan pandemik Covid-19 yang membimbangkan.

Tindakan mengutamakan kebajikan rakyat menerusi pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) adalah sesuatu yang tepat dengan perkembangan semasa.

Pakar Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, kerajaan bertindak pantas memastikan keadaan ekonomi tidak bertambah buruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mungkin berlanjutan.

"Apa yang dirangka menerusi Belanjawan 2021 dipercepatkan dan dipermudahkan seperti bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan i-Sinar.

"Selain itu, kerajaan memperkenalkan Program Bakul Makanan. Begitu juga Program Subsidi Upah 3.0 diperluas kepada semua sektor serta lanjutan moratorium," katanya.

Beliau yang juga Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, pengumuman kerajaan itu mengambil kira pengalaman PKP lalu yang memberi kesan mendalam terhadap ekonomi.

Berikutan kesan itu, katanya, kerajaan membenarkan lebih banyak sektor beroperasi semasa tempoh PKP 2.0.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Dr Azali Mohamed berkata, kerajaan membuat keputusan penting demi rakyat terutama golongan terjejas.

"Pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi berjaya mencapai kadar penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih kecil iaitu dari 17.1 kepada 2.7 peratus dan penurunan kadar pengangguran dari 5.1 kepada 4.7 peratus bagi suku ketiga 2020.

"Jadi kelangsungan pakej bantuan perlu diteruskan dan penjajaran semula peruntukan sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 9:12 AM