Noor Hidayah Tanzizi


Bota: Kerajaan negeri Perak mengesahkan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, di sini, sudah dijual kepada sebuah syarikat swasta.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, urusan penjualan tanah itu dilakukan kerajaan negeri terdahulu ketika dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) tanah berkenaan diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) untuk tujuan membina lapangan terbang baru.

"Tetapi apabila bertukar kerajaan, kerajaan waktu itu menjual tanah kepada sebuah syarikat. Itulah yang sudah berlaku.

"Masa BN (dahulu) kita simpan, (tetapi) masa PH (mentadbir negeri) dia jual. Jadi kita tiadalah tanah bagi membina lapangan terbang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perasmian Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bantuan Persekolahan dan Orang Kurang Upaya Oleh Kelompok-Kelompok Padang Ragut Daerah Perak Tengah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak 2021 di Dewan Dato' Ahmad Hambal, Bota Kanan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, tanah itu sudah mendapat kelulusan untuk tujuan pembangunan bercampur dan syarikat berkenaan juga sudah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang (KM).

Katanya, pembinaan lapangan terbang baharu yang bertaraf antarabangsa diperlukan di negeri ini bagi membolehkan kapal terbang lebih besar mendarat.

"Ada keperluan untuk jangka masa panjang dan kita kena cari tanah lain. Tidak semestinya (lokasi tanah baru di Seri Iskandar), suatu ketika dahulu ada cadangan buat di Kerian kemudian tidak jadi.

"Ia (lokasi baru) bergantung kepada kesesuaian sebab perlu mendapat pandangan dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA)," katanya.

Selasa lalu, media melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah untuk cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 3:03 PM