GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Individu yang menerima dos lengkap suntikan vaksin Covid-19 masih perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana sejak kebelakangan ini perkembangan semasa menunjukan kemunculan varian baharu virus SARS-CoV-2 di luar negara.

Katanya berikutan itu pihanknya khuatir ia akan mengganggu keberkesanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dijalankan di dalam negara.

"Pengembara dari luar negara terutamanya dari negara yang kadar jangkitan Covid-19 nya tinggi, berisiko untuk meningkatkan penularan jangkitan penyakit ini ke dalam negara.

"Sehubungan dengan itu, kerajaan menetapkan beberapa langkah pencegahan misalnya kawalan sempadan negara, saringan Covid-19 di semua pintu masuk antarabangsa serta pelaksanaan perintah kuarantin wajib di tempat kediaman atau stesen kuarantin bagi semua pengembara.

"Ia terus dijalankan walaupun individu berkenaan sudah mendapat vaksin Covid-19 yang lengkap di negara asal sebelum mereka berlepas. Kita nasihatkan supaya individu terbabit terus mematuhi kesemua SOP yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pematuhan SOP walaupun sudah menerima dos lengkap itu selaras dengan pendirian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyarankan supaya vaksin Covid-19 tidak dijadikan sebagai 'pasport imuniti' memandangkan program imunisasi masih di peringkat awal.

"Berdasarkan maklumat terkini, pengambilan vaksin COVID-19 yang lengkap boleh mengurangkan komplikasi penyakit Covid-19 di samping membantu mengurangkan penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

"KKM sentiasa memantau dan meneliti perkembangan penyelidikan vaksin yang dijalankan di seluruh dunia serta PICK demi menjamin kesejahteraan awam. Perkara ini akan disemak dari semasa ke semasa mengikut perkembangan data dan pandangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 7:41 PM