GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kemunculan varian baharu virus SARS-CoV-2 di luar negara dikhuatiri akan mengganggu keberkesanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang dijalankan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengembara dari luar negara terutama dari negara dengan kadar jangkitan Covid-19 tinggi berisiko meningkatkan penularan jangkitan penyakit itu ke dalam negara.

"Sehubungan itu, kerajaan menetapkan langkah pencegahan misalnya kawalan sempadan negara, saringan Covid-19 di semua pintu masuk antarabangsa serta pelaksanaan perintah kuarantin wajib di tempat kediaman atau stesen kuarantin bagi semua pengembara.

"Ini terus dijalankan walaupun individu berkenaan sudah mendapat vaksin Covid-19 lengkap di negara asal sebelum berlepas. Di samping itu, individu berkenaan dinasihatkan agar terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa memperkukuhkan tindakan kesihatan awam serta menjalankan penilaian risiko dari semasa ke semasa dengan turut mengambil kira segala perkembangan jangkitan Covid-19 di dalam dan luar negara.

Beliau berkata, KKM merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak dan individu yang mematuhi SOP walaupun sudah menerima dos vaksin lengkap.

"Ini selaras dengan pendirian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyarankan agar vaksin Covid-19 tidak dijadikan sebagai 'pasport imuniti' memandangkan program imunisasi masih di peringkat awal.

"Berdasarkan maklumat terkini, pengambilan vaksin Covid-19 lengkap boleh mengurangkan komplikasi penyakit Covid-19 di samping membantu mengurangkan penularannya dalam kalangan masyarakat,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 7:40 PM