Tambak Johor
Tambak Johor
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Permohonan menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman akan diproses Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) selepas mengambil kira jumlah kemasukan pengembara yang tinggi melalui Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua permohonan perlu dikemukakan kepada [email protected] sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum ketibaan ke Malaysia.

"Pengembara juga perlu menjalani saringan ujian pengesanan jangkitan Covid-19 menggunakan ujian Real-Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) selewat- lewatnya tiga hari sebelum berlepas.

"Penilaian risiko terhadap pengembara dibuat berdasarkan kepada permohonan untuk kuarantin di rumah atau tempat kediaman akan dijalankan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, rumah atau tempat kediaman boleh dipertimbangkan untuk dijadikan sebagai tempat kuarantin wajib sekiranya memenuhi beberapa syarat.

"Pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai rumah atau tempat kediaman di Malaysia (termasuk PR, Malaysia As My Second Home Resident – MM2H dan pekerja).

"Negatif ujian RT-PCR Covid-19, pengembara yang sudah menerima vaksinasi lengkap dan rumah atau tempat kediaman adalah bersesuaian," katanya.

Beliau berkata, individu yang lengkap divaksin adalah mereka yang memenuhi beberapa kriteria.

"Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan seperti Comirnaty (Pfizer-BioNTech), Covid-19 AstraZeneca (Oxford-AstraZeneca), CoronaVac (Sinovac), Spikevax (Moderna) dan Covilo (Sinopharm), individu berkenaan mesti melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

"Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan seperti Covid-19 Janssen (Johnson & Johnson) dan Convidecia (CanSino), individu berkenaan mesti melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan," katanya.

Menurutnya, semua pengembara perlu menjalani penilaian kesihatan dan ujian RT-PCR Covid-19 sekali lagi semasa ketibaan di PMA.

"Bagi pengembara yang bergejala ringan dikehendaki menjalani ujian pengesanan Covid-19, RTK-Antigen atau RT-PCR. Sekiranya ujian RTK-Antigen positif, 'buffer solution' dihantar ke makmal untuk ujian PCR. Pengembara ini dibenarkan untuk kuarantin di rumah atau tempat kediaman dan tindakan selanjutnya bergantung kepada keputusan ujian.

"Bagi pengembara yang mengalami gejala sederhana atau teruk akan dirujuk kepada Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit dan tindakan selanjutnya adalah berdasarkan kepada penilaian kesihatan dan keputusan pakar," katanya.

Katanya, tempoh kuarantin wajib bagi pengembara dari semua negara adalah 14 hari.

"Bagaimanapun, tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama 7 hari lagi menjadikan jumlah kuarantin 21 hari sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko terhadap pengembara itu yang dijalankan pada hari ke-14.

"Kuarantin tambahan ini akan dilaksanakan di tempat kediaman, rumah, atau stesen kuarantin yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 8:17 PM