Majlis pelancaran bizzakat diadakan secara sidang video. FOTO Asrol Awang
Majlis pelancaran bizzakat diadakan secara sidang video. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pelancaran portal bizzakat yang dikendalikan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang diyakini membantu merancak dan meningkatkan lagi ekonomi di kalangan masyarakat Islam, khususnya peniaga di Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bizzakat adalah direktori untuk membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan perniagaan dan perkhidmatan membabitkan peniaga Islam.

Katanya, selain itu, portal berkenaan membantu mempromosikan perniagaan pembayar zakat dan usahawan asnaf di Pahang yang dibantu oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

"Bizzakat bukan sahaja direktori secara dalam talian malah mempunyai keunikan yang tersendiri dalam perniagaan barangan dan perkhidmatan.

"Kepelbagaian barangan yang ditawarkan adalah satu kelebihan yang membuatkan bizzakat mempunyai kekuatan tersendiri dalam membantu meningkatkan perniagaan," katanya pada majlis pelancaran menerusi sidang video di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, Datuk Halidan Md Daud berkata, setakat ini, 2,584 ahli sudah berdaftar dengan bizzakat.

"Ahli bizzakat kini berada di setiap daerah di Pahang yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti peruncitan, ternakan, tanaman dan perkhidmatan.

"Portal ini juga memastikan usahawan yang membayar zakat dapat terus menjalankan perniagaan masing-masing dan PKZ mengambil inisiatif mencari jalan supaya perniagaan mereka menjadi lebih maju dan mendapat lebih banyak keuntungan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 1:04 PM