DATUK Seri Dr Sallehuddin Ishak (kiri) mewakili Kerajaan Pahang menerima sumbangan beras daripada  Syeikh Zakaria Othman di Kuantan. FOTO Asrol Awang
DATUK Seri Dr Sallehuddin Ishak (kiri) mewakili Kerajaan Pahang menerima sumbangan beras daripada Syeikh Zakaria Othman di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan negeri berterima kasih atas keprihatinan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang menyumbang 90 tan beras bernilai RM240,000 kepada mangsa banjir di Pahang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang mewakili kerajaan negeri dan rakyat Pahang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada LZNK dan rakyat Kedah.

"Dengan bantuan ini, sekurang-kurangnya ia dapat membantu meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir di Pahang.

"Pada masa sama, saya menyeru pihak lain yang ingin menyumbang sama ada tenaga, kewangan dan barangan boleh berhubung terus dengan Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Pahang.

"Dengan menyalurkan bantuan kepada PKOB, ia akan memudahkan penyaluran bantuan yang tidak hanya bertumpu kepada satu atau dua tempat sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan 30 tan beras di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Pahang di sini, hari ini.

Penyerahan bantuan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman.

Hadir sama Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang Datuk Halidan Md Daud.

Sementara itu, Syeikh Zakaria berkata, pihaknya menyumbang 90 tan beras, masing-masing 30 tan beras di Kuantan, Temerloh dan Jerantut.

Katanya, 90 tan beras atau 18,000 kampit beras lima kilogram itu diterima dengan selamat yang dibawa dengan menggunakan tiga treler.

"Diharapkan bantuan ini dapat membantu meringankan beban yang dialami mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 7:26 PM