Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 566,200 individu sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam negara, setakat semalam menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dr Adham dalam satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya, hari ini berkata daripada jumlah itu, 448,187 individu menerima suntikan dos pertama, manakala 118,013 pula sudah menerima suntikan vaksin dos kedua.

Selangor mencatatkan jumlah tertinggi individu yang menerima dos pertama vaksin iaitu 63,675.

Negeri lain yang menerima dos pertama vaksin Covid-19 ialah Perak (49,545), Sabah (42,018), Kuala Lumpur (39,633), Sarawak (36,972), Johor (34,000), Pahang (33,463), Pulau Pinang (31,802), Kedah (26,316), Negeri Sembilan (22,212), Terengganu (20,503), Kelantan (19,812), Melaka (11,672), Perlis (9,533), Putrajaya (4,695) dan Labuan (2,347).

Bagi dos kedua pula, Sarawak merekodkan jumlah tertinggi iaitu 15,135, Pahang (12,283), Kelantan (11,411), Selangor (11,370), Kuala Lumpur (10,890), Perak (9,760), Johor (8,935), Sabah (8,352), Kedah (5,238), Pulau Pinang (4,866), Terengganu (4,649), Negeri Sembilan (4,643), Melaka (4,103), Putrajaya (2,234), Perlis (2,157) dan Labuan (1,987).

Sementara itu, jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pula adalah sebanyak 7.16 juta, setakat semalam dengan Selangor merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 1.98 juta atau 40.8 peratus.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin bermula Februari hingga April ini akan membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Program akan diteruskan bagi fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kurang upaya.

Sementara fasa ketiga yang dijadualkan bermula Mei hingga Februari tahun depan adalah untuk kumpulan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 3:27 PM