Menteri Besar Perak tanda tangan Pelancaran KBNP di Arena Square Dataran Lawin, Gerik. FOTO MOHD RASHIDI YUSUF.
Menteri Besar Perak tanda tangan Pelancaran KBNP di Arena Square Dataran Lawin, Gerik. FOTO MOHD RASHIDI YUSUF.
Oleh Mohd Rashidi Yusuf


Gerik: Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri ini diminta menyumbang lima peratus potongan harga bagi membantu rakyat yang membeli barangan di Kedai Bergerak Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, selain potongan harga daripada Adun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan pihak lain turut diminta memainkan peranan bagi membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rumah.

"Hari ini, kedai yang digerakkan oleh YBUDR ini, yang dulunya adalah Kedai Bergerak Aman Jaya, kita lancar semula dan kita akan gerakannya di seluruh negeri.

"Kedai ini akan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain dengan membawa barangan kering dan basah. Ia dijual pada harga lebih murah berbanding pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Kedai Bergerak Negeri Perak (KBNP) di Arena Square Lawin dekat sini, hari ini.

Hadir sama Adun Kenering, Toh Bandar Hulu Datuk Tarmizi Idris, Adun Temenggor Salbiah Mohamed, Pengerusi YBUDR Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi LKIM Datuk Syed Abu Hussain Syed Abdul Fasal.

Saarani berkata, sempena pelancarannya, beliau dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang juga Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, masing-masing menyumbang 10 peratus potongan harga untuk kedai bergerak berkenaan.

LKIM turut mengagihkan satu tan ikan kepada orang ramai yang hadir pada program itu.

Menurut beliau, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) turut menghulurkan sumbangan RM1.45 juta manakala YBUDR dan Maju Perak Holding Berhad masing-masing menyumbang RM500,000.

"Sebanyak 47 lokasi akan mendapat perkhidmatan KBNP dan sekiranya ada tambahan lori, mungkin lebih daripada itu kerana berdasarkan pengalaman lalu, lebih 76 lokasi, malah ada kalanya 90 lokasi.

Selain luar bandar, KBNP juga akan ke bandar kerana kita faham kemiskinan tidak hanya di luar bandar, malah di bandar-bandar juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 6:13 PM