GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seorang peniaga menanggung kerugian hampir RM20,000 selepas ditipu individu tidak dikenali yang dipercayai menyamar sebagai kakitangan bank pada 9 Mac lalu.

Kejadian bermula selepas lelaki berusia 39 tahun itu menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai seorang daripada kakitangan di sebuah bank berdaftar sebelum mempromosikan produk pinjaman perniagaan ditawarkan di bank berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu bersetuju membuat pinjaman berjumlah RM20,000.

Beliau berkata, mangsa kemudian menghantar dokumen peribadi termasuk salinan kad pengenalan, salinan penyata Kumpulan Skim Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sijil perniagaan miliknya menerusi aplikasi WhatsApp kepada suspek.

"Sebaik dokumen itu diterima, suspek meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam nombor akaun diberikan dengan alasan sebagai caj Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Suspek turut mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang lagi dengan memberi pelbagai alasan termasuk untuk tujuan pembayaran awal pinjaman untuk enam bulan pertama," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa pada mulanya mengikut arahan diberikan suspek.

Bagaimanapun, mangsa mula mengesyaki ditipu apabila sudah mengeluarkan wang yang hampir sama dengan jumlah pinjaman ingin dibuat.

"Dia yang yakin dirinya menjadi mangsa penipuan membuat laporan polis Sabtu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

M Zambri turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada individu atau syarikat yang mengaku menjadi pihak ketiga yang dilantik atau ejen daripada industri kewangan.

Katanya, orang ramai sepatutnya menghubungi atau ke institusi kewangan yang ada sekiranya mahu membuat pinjaman bagi mengelak ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 8:19 PM