Asrol Awang


Kuantan: Empat lokasi pelancongan utama di Pahang mencapai imuniti kelompok apabila 100 peratus penduduk dewasanya lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

Ia sekali gus membolehkan sektor pelancongan di destinasi itu dirancakkan semula apabila gelembung pelancong diumum kelak.

Empat lokasi tumpuan pelancong di Pahang sudah mencapai status pemberian vaksin imuniti berkelompok atau 100 peratus menerima dos lengkap setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, lokasi pelancongan berkenaan adalah Pulau Tioman di Rompin; Taman Negara di Jerantut; Genting Highlands dan Janda Baik di Bentong.

Sementara itu, katanya, Bukit Fraser di Raub pula mencapai kadar vaksinasi 94 peratus; Cameron Highlands (74.6 peratus), Temerloh (62.36 peratus) dan Rompin (31.1 peratus).

"Oleh itu, kerajaan negeri mengharapkan pemberian vaksin di empat lagi lokasi pelancongan itu dapat disegerakan untuk mencapai 100 peratus vaksinasi dalam tempoh terdekat.

Mohd Sharkar menyerahkan bantuan kepada operator perlancongan negeri Pahang. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Mohd Sharkar menyerahkan bantuan kepada operator perlancongan negeri Pahang. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

"Sebaik mencapai imuniti kelompok itu, semua lokasi pelancongan di Pahang diyakini kembali rancak dan membantu pengusaha pelancongan yang terjejas teruk daripada pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BBP) kepada wakil persatuan pemandu pelancong sekitar Kuantan dan Cherating di pekarangan pejabat Tourism Pahang, di sini, hari ini.

Mengulas prosedur operasi standard (SOP) di lokasi pelancongan, Mohd Sharkar berkata, pengusaha sektor itu diminta mematuhi syarat ditetapkan kerajaan dalam mencegah penularan Covid-19.

Katanya, mereka yang belum menerima suntikan vaksin vaksin perlu berbuat demikian untuk memastikan sektor pelancongan dapat berjalan seperti biasa.

"Kerajaan negeri mahu melihat sektor pelancongan kembali dikunjungi ramai dan membantu pengusaha yang terjejas menjana pendapatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 7:14 PM