teliti menyembur warna pada lukisan Jalur Gemilang.
teliti menyembur warna pada lukisan Jalur Gemilang.
lincah menghasilkan potret seorang kanak-kanak perempuan di tembok usangSeksyen 6.
lincah menghasilkan potret seorang kanak-kanak perempuan di tembok usangSeksyen 6.
Mural Tun Dr Mahathir Mohamad
Mural Tun Dr Mahathir Mohamad
Mural grafiti Qoyyum dan Akid di Hosier, Lane Melbourne Australia.
Mural grafiti Qoyyum dan Akid di Hosier, Lane Melbourne Australia.
Oleh Fatin Farhana Japre

FATIN FARHANA JAPRE bangga dan teruja melihat seorang anak muda yang lincah tangannya menghasilkan tulisan grafiti ‘MERDEKA’ dalam masa yang singkat.

Menghasilkan sebuah karya lukisan di dinding atau mural grafiti untuk menyampaikan sesuatu mesej kepada umum pasti mengundang rasa bangga kepada si pelukis. Lebih indah apabila segala idea dan kreativiti yang dicurahkan untuk menghasilkan lukisan itu mendapat pengiktirafan orang ramai.

Begitu juga Abdul Qoyyum Mohd Nadzri (Yumz), 22, turut tidak melepaskan peluang dan bertungkus-lumus menaikkan namanya sendiri di persada seni grafiti sehingga dikenali ramai hari ini. Melihatkan Yumz lincah melukis tulisan grafiti ‘MERDEKA’ pada sebuah tembok usang di Taman Kenari, Seksyen 6, Shah Alam, Selangor di bawah panas terik matahari membuatkan penulis terpegun seketika.

Pada usia 15 tahun, Yumz mula tertarik dengan seni grafiti ketika membabitkan diri dengan klinik grafiti. Disebabkan minatnya semakin membuak-buak dari hari ke hari, Yumz mula belajar di Internet langkah demi langkah dan mengambil keputusan untuk cuba melukis tulisan grafiti di dinding bilik tidurnya. Seminggu selepas itu, dia dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas berpunca daripada ketiadaan ruang udara dalam bilik tidur.

Meskipun demikian, ia langsung tidak mematahkan semangat Yumz untuk terus belajar mendalami seni grafiti ini. Ketaasubannya dalam seni ini menyebabkan dia banyak menghabiskan masa di kafe siber melayari Internet cara untuk menghasilkan lukisan grafiti yang nampak hidup. Dia tidak lagi belajar melukis tulisan grafiti menggunakan ‘spray’, tetapi melukis di atas kertas sehinggalah berumur 17 tahun.

Sementara menanti tawaran untuk melanjutkan pelajaran, Yumz melukis grafiti di sebuah bangunan usang berdekatan rumahnya di Pulau Pinang lebih kurang setahun. Sehinggalah dia dipanggil untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Selangor, Shah Alam dalam kursus pengajian Diploma Seni Grafik untuk tiga tahun.

“Ketika itu, keluarga tidak bersetuju dan terkilan saya memilih bidang seni untuk meneruskan pengajian. Pada mereka, seni tiada masa depan yang, tetapi saya tetap pilih Diploma Seni Grafik. Bermula saat itu, saya fokus belajar dan sebaik saja tamat kelas, saya terus pergi melukis grafiti di Seksyen 18, Shah Alam untuk praktis.

“Akibat minat yang terlalu mendalam, duit belanja RM1,000 yang diberi keluarga setiap bulan saya gunakan untuk membeli ‘spray’ dan hanya RM50 saja yang digunakan untuk makan minum saya. Empat tahun lalu, sebotol ‘spray’ berjenama Anchor berharga RM6, tetapi kini RM7,” kata anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Pada pertengahan tahun 2012, Yumz sudah mahir melukis grafiti dan dia mula mengikut Medea Project, salah seorang senior dalam seni grafiti, sebagai pembantu untuk projek pengiklanan seperti demo. Dia dan Medea juga pernah melukis mural grafiti gambar Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Nik Aziz Nik Mat di Pasar Seni. Tetapi sayangnya ia dipadam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana dikatakan berunsur politik.

Bermula dari saat itu, Yumz menerima setiap jemputan demo dari balai seni, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan banyak lagi. Dia juga tidak lagi meminta duit poket daripada keluarga kerana sebulan pendapatan sampingannya boleh mencecah RM2,000 dan cukup untuk menanggung perbelanjaan di universiti.

“Selama lima tahun membabitkan diri dalam bidang ini, saya tidak akan lupa projek terbesar dengan PETRONAS iaitu Tanah Airku Street Art 2014. Semasa itu, saya berganding bahu dengan rakan baik saya, Akid, melukis grafiti bertemakan ‘brave’ iaitu seorang kanak-kanak lelaki memakai topi harimau sambil memegang gajet di dinding sebuah bangunan besar setinggi 12 tingkat bersebelahan Maybank, Kuala Lumpur.

“Mesej yang kami cuba sampaikan ialah seorang kanak-kanak berani menggunakan teknologi terkini pada usia yang masih kecil. Jadi tidak mustahil satu hari nanti dia boleh memimpin Malaysia. Kami mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records kerana mural yang kami hasilkan selama lapan hari ini adalah yang terbesar, bersaiz 18 gelanggang badminton,” kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Berkongsi pengalamannya sebagai artis grafiti muda, untuk menghidupkan sesuatu mural atau lukisan grafiti perlu menggunakan banyak warna. Sebagai contoh, potret Tun Dr Mahathir yang dilukisnya dan akid di Pekan Melayu, Kedah menggunakan lebih kurang 40 jenis warna. Setiap karya mural grafiti yang pernah dihasilkannya mengambil masa selama dua minggu manakala tulisan grafiti bersaiz 10X10 kira-kira empat hingga enam jam.

“Setiap artis grafiti mempunyai teknik yang berlainan, macam saya perlu selalu praktis menggunakan ‘nozzle cap spray’ yang berlainan saiz supaya mudah mendapatkan bentuk yang saya mahukan. Daripada ‘spray’ jenama Anchor saya tukar kepada ‘spray’ jenama Montana Can dari Jerman dengan harga RM30 sebotol kerana ia membuatkan lukisan grafiti saya lebih gempak tidak kira potret, tulisan, karakter atau 3D.

“Uniknya seni grafiti ini ialah kita boleh melukis di dinding atau objek keras. Dulu, seni ini mendapat tentangan keras daripada semua pihak kerana dikatakan vandalisme, tetapi kini Kementerian Belia dan Sukan juga menyokong seni grafiti ini,” kata Yumz yang pernah menghasilkan lebih 100 mural dan tulisan grafiti di Malaysia.

“Bagi remaja yang berminat, jangan malu bertanya dengan saya di Instagram (@yumzone_)dan praktis selalu di kawasan yang dibenarkan, jangan lakukan vandalisme. Saya juga mengambil tempahan mural grafiti seperti mural sekolah, potret dan tulisan grafiti pada harga RM1,000 ke atas mengikut saiz,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 9:17 AM