Amir Abd Hamid


Serdang: Keperluan memantapkan governans, integriti dan antirasuah kekal utuh dan tidak sesekali luntur meskipun negara dilanda pandemik Covid-19.

Ia diteruskan walaupun terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana disarankan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Penasihat Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, justeru itu juga kabinet akan bermesyuarat pada 18 Mac ini untuk membincangkan isu berkenaan.

"Setakat yang saya tahu kerajaan masih lagi memberikan penekanan isu governans, integriti dan antirasuah.

"Pertama GIACC masih lagi berperanan dengan aktif dan kabinet akan bermesyuarat pada 18 Mac untuk membincangkan isu governans, integriti dan antirasuah.

"Jadi agenda kerajaan dalam memerangi rasuah masih lagi diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) di Ibu Pejabat Mardi, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) Mardi Hasimah Hafiz Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan dan Operasi) Mardi Tapsir Serin.

Abu Kassim menyifatkan pembangunan OACP oleh Mardi adalah langkah tepat.

"Ini adalah untuk menangani kelemahan governans, integriti dan rasuah.

"Mardi penting dalam sektor pertanian termasuk dalam urusan pembenihan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Dr Mohamad Roff berkata, pelaksanaan OACP itu diharap menjamin reputasi dan prestasi Mardi sebagai agensi kerajaan daripada penemuan ketidakakuran peraturan yang sedang berkuatkuasa, tohmahan rasuah dan tatakelakukan dalam kalangan warganya.

Beliau meminta warga Mardi menjauhkan diri daripada sifat keji seperti menyeleweng, salah guna kuasa, menipu, terbabit rasuah dan sebagainya dalam pekerjaan.

Abu Kassim (kiri) bersama Dr Mohamad Roff pada sidang media selepas  Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) MARDI 2021-2025. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Abu Kassim (kiri) bersama Dr Mohamad Roff pada sidang media selepas Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) MARDI 2021-2025. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 6:36 PM