Lelaki OKU hilang sejak Sabtu lalu ditemui selamat dalam kebun sawit dekat Yong Peng, hari ini. FOTO Ihsan bomba
Lelaki OKU hilang sejak Sabtu lalu ditemui selamat dalam kebun sawit dekat Yong Peng, hari ini. FOTO Ihsan bomba
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Lelaki orang kurang upaya (OKU) yang hilang tiga hari lalu ditemukan selamat dalam keadaan lemah di dalam kebun sawit di Batu 7, Jalan Paloh, Yong Peng, dekat sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, Low Teck Moh, 57, mengalami masalah hilang ingatan ditemukan anggota bomba pada jam 3.28 petang.

Mangsa OKU pekak dan bisu itu dilaporkan hilang pada Sabtu lalu kira-kira jam 6.30 petang.

"Operasi pencarian turut dibantu polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan tindakan operasi membuat pencarian di sekitar kawasan kebun kelapa sawit .

"Operasi dibahagikan kepada tiga kumpulan di sekitar kawasan dengan bantuan pasukan Unit Pengesan K9 bomba," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, mangsa berjaya ditemui oleh pihak bomba sejauh dua Kilometer dari kawasan dia dilaporkan hilang.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Yong Peng bagi mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya.

Seramai 25 anggota, satu jentera LFRT, satu jentera FRV, tiga utiliti Nissan Urvan dan sebuah utiliti Toyota Hilux dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Kluang, Renggam, Penggaram,Batu Pahat, Ayer Hitam dan Rengit terbabit dalam operasi mencari.

"Operasi tamat pada jam 4.54 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 9:01 PM