ANGGOTA bomba ketika operasi menangkap buaya yang ditemui sesat dalam kebun sawit di Batu Pahat. FOTO IHSAN BOMBA
ANGGOTA bomba ketika operasi menangkap buaya yang ditemui sesat dalam kebun sawit di Batu Pahat. FOTO IHSAN BOMBA
Essa Abu Yamin


SEEKOR buaya seberat 150 kilogram ditemui dalam lopak air di kebun kelapa sawit Kampung Linau Kecil, Batu Pahat, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Saifulle Idris berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.21 petang mengenai kejadian berkenaan.

"Operasi menjinakkan dan menangkap reptilia itu mengambil masa 30 minit kerana bersifat agresif.

"Difahamkan buaya spesis buaya sungai itu ditemui oleh pekerja kebun sawit yang sedang membersihkan kebun terbabit, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihak bomba menggunakan peralatan serta tali menyelamat dengan mengikat bahagian kaki hadapan dan belakang serta mulut buaya berkenaan.

"Pihak bomba turut menggunakan kain bagi menutup mata buaya bagi memudahkan proses menangkap buaya itu.

"Ini kali pertama BBP Penggaram menangkap reptilia berkenaan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Daerah Batu Pahat untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, seramai 12 anggota ke lokasi diketuai Ketua Operasi Zulfadli Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 9:18 PM