ANGGOTA Polis dilihat memantau perkarangan pejabat Kedutaan Korea Utara di Damansara, Kuala Lumpur, selepas pihak kerajaan Korea Utara mengumumkan bahawa negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANGGOTA Polis dilihat memantau perkarangan pejabat Kedutaan Korea Utara di Damansara, Kuala Lumpur, selepas pihak kerajaan Korea Utara mengumumkan bahawa negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Enam pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memantau situasi semasa di hadapan pejabat Kedutaan Korea Utara, di sini, susulan tindakan negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, setakat ini, tiada kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku.

"Kita menempatkan enam pegawai dan anggota yang akan bertugas dalam tiga syif sehari.

"Kakitangan di pejabat itu pun memerlukan masa untuk mengemas barang dan membuat ujian calitan Covid-19 sebelum berlepas pulang ke negara asal mereka.

"Justeru, kami akan terus memantau keadaan di kedutaan itu dalam sehari dua ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan mengarahkan semua kakitangan diplomatik kedutaan Korea Utara dan ahli keluarga mereka di Kuala Lumpur supaya meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam, semalam.

Wisma Putra dalam satu kenyataan dipetik berkata, tindakan itu susulan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia berikutan seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong yang diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Chol Myung ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei 2019 susulan waran tangkap mengikut Seksyen 13(1)(b) Akta Ekstradisi 1992 atas dakwaan konspirasi pengubahan wang haram serta melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019.

Permohonan writ 'habeas corpus' (penahanan salah) di Mahkamah Tinggi pada 29 Disember tahun sama dan rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober tahun lalu, ditolak selepas mahkamah mendapati permohonan dan rayuannya tidak berasas di bawah Akta Ekstradisi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 4:17 PM