MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk melucutkan hak wang RM600,000 daripada penerbit filem Riza Aziz. FOTO Fathil Asri
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk melucutkan hak wang RM600,000 daripada penerbit filem Riza Aziz. FOTO Fathil Asri
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk melucutkan hak wang tunai hampir RM600,000 daripada Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia adalah sebahagian daripada persetujuan yang dicapai oleh Riza dengan pihak pendakwaan bagi membolehkan dia dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewangan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu dalam permohonan lucut hak berjumlah RM31 juta terhadap Riza Aziz dan 17 defendan lagi.

Dalam keputusannya, Mohamed Zaini membenarkan kerajaan melucutkan hak pelbagai mata wang asing merangkumi RM537,000 serta 2,700 pound sterling dan 2,870,000 rupee Sri Lanka.

Semua wang itu disita dari rumah Riza, Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor pada 17 Mei 2018.

Pada 7 Mei 2019, kerajaan mengemukakan permohonan lucut hak terhadap ratusan barangan termasuk beg tangan pelbagai jenama, jam tangan, hartanah, aset dan 27 buah kenderaan yang dirampas daripada Najib, Rosmah, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Semua itu mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin memberitahu mahkamah bahawa Riza Aziz sebelum ini bersetuju untuk kerajaan melucut hak wang yang berada di negara ini dan Amerika Syarikat.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Rosmah dan Riza Aziz manakala Najib diwakili Syahirah Hanapiah tidak membantah permohonan itu.

Mahkamah menetapkan 24 Ogos depan untuk mendengar permohonan utama kes itu/

Pada 14 Mei lalu, Riza dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan skandal 1MDB.

Berita berkaitan:

  • Kerajaan dijangka terima semula aset daripada Riza Aziz
  • Riza Aziz dilepas tanpa dibebaskan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 1:58 PM