Laporan Portal Harian Metro
Laporan Portal Harian Metro
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pemandu lori treler yang merempuh perancah besi di pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan menimpa van pekerja dinaiki mereka ketika melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) masih dalam tahanan reman.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pemandu treler berusia 40 tahun berkenaaan masih ditahan reman bagi membantu siasatan kerana didapati positif dadah.

"Polis kini sedang menunggu keputusan ujian air kencing yang dihantar ke Jabatan Kimia bagi memastikan keputusan urin awal yang dilakukan.

"Setakat ini suspek disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam pengaruh alkohol atau dadah dan terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kecederaan atau kematian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, penumpang van kilang Nurina Edwin Abdullah, 47, dan Norhayati Abdullah, 42, meninggal dunia manakala pemandu van berkenaan, Muhd Fairus Mohd Yusof, 47, mengalami patah tulang bahu sebelah kiri, bengkak pada paru-paru dan berlaku pendarahan dalaman.

Selaian itu, dua lagi penumpang van Zaitun Zainal, 54, cedera kaki sebelah kiri, manakala Zakiyyah Yakop, 51, cedera betis kiri.

Kejadian dipercayai berlaku apabila treler yang melalui MRR2 melanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki dan menyebabkan rusuk keluli bersama dengan perancah besi terjatuh di dua-dua laluan MRR2.

Ia kemudian menghempap van kilang yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 1:18 PM