LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia. FOTO arkib NSTP
LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menafikan tindakan mengaudit, siasatan dan pungutan dijalankan ke atas mana-mana individu bermotifkan politik.

Sebaliknya, LHDNM pada kenyataan media hari ini memaklumkan, tindakan itu bertujuan untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang percukaian yang berkuatkuasa.

"Sebagai agensi utama pemungut hasil negara, LHDNM kekal komited menjalankan amanah yang diberikan tanpa rasa bimbang atau pilih kasih.

"LHDNM sentiasa adil, saksama dan berintegriti kepada semua pembayar cukai serta bertindak berpandukan peruntukan undang-undang percukaian negara secara teratur dan profesional.

"Sehubungan itu, LHDNM ingin menekankan bahawa setiap aktiviti penguatkuasaan termasuk aktiviti pungutan dan guaman sivil dilakukan berlandaskan akta percukaian yang berkuatkuasa serta berpandukan Rangka Kerja Audit Cukai (RKAC) dan Rangka Kerja Siasatan Cukai (RKSC) yang boleh diakses menerusi portal rasmi LHDNM," katanya.

Pada kenyataan sama, LHDNM memaklumkan sistem pemilihan kes untuk tindakan penguatkuasaan adalah berdasarkan kriteria daripada sudut kegagalan mematuhi perundangan percukaian semata-mata.

LHDNM juga tidak menyimpan maklumat kaum, agama dan kecenderungan politik individu di dalam pangkalan data kerana tidak membantu penilaian risiko sesuatu kes.

"Pada masa yang sama, maklumat individu atau syarikat yang dikenakan tindakan audit dan siasatan juga tidak didedahkan oleh LHDNM kerana tertakluk kepada peruntukan kerahsiaan.

"Justeru, orang awam, syarikat mahupun pertubuhan tidak berpuas hati dengan taksiran yang dibangkitkan atau mendapati ada kesilapan pada cukai yang dikenakan boleh mengemukakan rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) dengan mengemukakan Borang Q yang boleh dimuat turun dan dicetak di portal rasmi LHDNM.

"Borang Q yang lengkap berserta dengan alasan hendaklah dikemukakan ke cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan perayu," katanya.

Sebelum Borang Q dikemukakan kepada PKCP, pembayar cukai boleh berbincang dengan LHDNM melalui platform Prosiding Resolusi Pertikaian untuk mencapai penyelesaian luar mahkamah.

"Sekiranya persetujuan luar mahkamah tidak dapat dicapai, Borang Q itu akan dikemukakan dan diputuskan oleh PKCP.

"Cukai adalah hasil utama negara ini dan semua pihak wajar menunaikan tanggungjawab masing-masing ke arah Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera.

"Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan perkara ini boleh dimajukan kepada LHDNM di 03-89111000 atau 603-89111100 untuk luar negara," katanya.

Selain itu, orang ramai boleh ke bahagian HASiL Live Chat dan mendapatkan borang maklum balas di portal rasmi LHDNM di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 5:22 PM