GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Dua lelaki yang terbabit dalam pergaduhan di Damansara kerana perselisihan faham berhubung cara pemanduan ditahan polis semalam.

Kedua-duanya yang berusia 46 dan 71 tahun itu ditahan di Jalan Mutiara Damansara selepas membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lelaki berusia 46 tahun yang menunggang motosikal Demak menegur tindakan pemandu teksi yang memotong laluan tanpa memberi isyarat.

"Berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua suspek. Pemandu teksi itu kemudiannya mengeluarkan besi pengunci stereng dan menggunakannya sebagai senjata untuk memukul penunggang motosikal terbabit.

"Bagaimanapun, penunggang motosikal dapat merampas besi pengunci stereng itu sebelum memukul pemandu teksi terbabit dengan senjata sama," katanya pada kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, kedua-dua suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Semakan mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 160 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhemah ketika memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 2:15 PM